expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Friday, March 4, 2011

iPad 2 Diperkenalkan


Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs, 56, membuat kejutan apabila dia hadir dengan tubuhnya yang kurus semasa mendedahkan versi kedua iPad kelmarin.

Orang ramai berdiri bertepuk tangan apabila Jobs yang merupakan pengasas syarikat Apple menaiki pentas di Pusat Yerba Buena di sini dengan gaya yang bersahajanya, memakai baju berkolar, seluar jean biru dan cermin mata.

"Kami telah bekerja keras untuk menghasilkan produk ini dan saya tidak mahu melepaskan hari yang bersejarah ini," katanya.

Beliau berkata, tahun 2010 merupakan tahun buat iPad sebelum skrin video memaparkan komputer tablet Apple itu.

"Kami melalui permulaan yang susah dan tidak pernah berehat untuk kejayaan ini. Kami akan memperkenalkan iPad 2 hari ini (kelmarin)," kata Jobs. Berita yang dibawa beliau itu menyebabkan saham Apple melonjak dengan serta-merta.

Situasi itu berlaku kerana Jobs tidak muncul sejak Januari lalu kerana dia mengalami masalah kesihatan dan kerap mengelak daripada menghadiri majlis besar anjuran syarikat Apple.


Pada bulan lalu, sebuah akhbar di AS menyiarkan gambar-gambar Jobs yang kelihatan terlalu kurus di Palo Alto, California.

Kira-kira 10 tahun yang lalu, beliau telah menjalani pelbagai rawatan untuk merawat penyakit kanser pankreas dan melalui pembedahan pemindahan hati.

Namun, iPad 2 yang diperkenalkan Jobs itu lebih nipis, ringan dan mempunyai pemprosesan yang lebih cepat serta dilengkapi dua buah kamera untuk merakam foto serta perbualan video.

Ia datang dengan dua warna, hitam dan putih dengan ketebalan hanya 8.8 milimeter berbanding model sekarang setebal 13.4 milimeter.

"Sebenarnya, iPad 2 lebih nipis daripada iPhone 4" jelas Jobs.

Model baru itu akan berada di pasaran pada 11 Mac ini dan berharga di antara $499 (RM1,512) hingga $829 (RM2,513) bergantung kepada kapasiti memori dan kebolehan bersambung dengan Internet melalui talian selular.


Syarikat Apple turut mencipta beberapa aksesori baru untuk iPad 2. Antara aksesori baru itu ialah soket yang membolehkan pengguna menghubungkan iPad 2 kepada televisyen beresolusi tinggi.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...