expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Monday, February 21, 2011

Punca Kebangkitan / Krisis di Asia Barat


Kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat yang bermula di Tunisia sebelum merebak ke Mesir dan kini di Yemen, Bahrain dan Libya tidak berlaku tanpa sebab.

Gelombang kebangkitan rakyat itu bermula selepas para penunjuk perasaan berjaya menyebabkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan bulan lalu.

Ia kemudian diikuti oleh rakyat di Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun memerintah.

Kebangkitan itu kemudian diteruskan oleh rakyat di Libya, Bahrain dan Yemen yang menuntut reformasi pemerintahan dilakukan.

Semua kebangkitan rakyat itu berlaku dalam zaman Facebook, Twitter dan Internet serta komunikasi penghantaran mesej yang laju menerusi telefon bimbit.

Laman web sosial dan telefon bimbit itu membantu kejayaan tunjuk perasaan di Mesir namun punca sebenar gelombang kebangkitan tersebut adalah tiadanya program ekonomi tersusun untuk rakyat di negara-negara tersebut.

Negara Mesir moden sudah lama wujud tetapi apakah yang dilakukan oleh Hosni semasa beliau memerintah untuk membaiki taraf hidup rakyat?

Rakyat di negara itu sudah bosan dengan taraf pembangunan yang berkualiti rendah sedangkan anak-anak pemimpin di negara berkenaan menikmati pendidikan dan gaya kehidupan mewah.


Negara-negara itu sudah tidak lagi dijajah oleh penjajah tetapi ketiadaan kemajuan yang dinikmati oleh rakyat menyebabkan mereka mudah bersatu untuk menentang pemerintah.

Hosni tumbang bukan disebabkan oleh musuh-musuh politiknya yang kuat tetapi di tangan rakyat yang merupakan golongan biasa tanpa sebarang kekayaan.

Selama hampir 29 tahun berkuasa, rakyat tidak lagi menyanjung keberanian Hosni berdepan dengan Israel dalam peperangan pada masa lalu sebaliknya mereka menuntut dengan berani dengan memberitahu beliau supaya berundur.

Selama ini, strateginya untuk kekal berkuasa dengan menyekat beberapa laman sosial di zaman Internet dan menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat yang tidak menyokongnya musnah hanya disebabkan tunjuk perasaan rakyat selama 18 hari.

Kesilapan pemimpin-pemimpin di Asia Barat ialah mereka cuma menonjolkan kehebatan diri mereka di depan rakyat tetapi pada masa yang sama gagal untuk menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang bersistematik untuk pembangunan.

Itulah dilema yang dihadapi oleh Hosni, Zine El Abidine dan kini pemimpin terkenal dari Libya, Muammar Gaddafi, keluarga diraja Bahrain dan Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh.

1 comment :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...