expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Wednesday, February 16, 2011

Jepun Bukan Lagi Ekonomi Kedua Terbesar


Jepun telah kehilangan kedudukan selama 42 tahun sebagai negara ekonomi kedua terbesar dunia kepada China pada 2010, apabila berlaku pengecutan pada suku terakhir ekoran kelemahan perbelanjaan konsumer dan pengukuhan yen.

Negara matahari terbit itu, dijangka terus berada di belakang China pada tahun ini, apabila data menunjukkan kelemahan ekonomi Jepun berikutan deflasi, permintaan domestik berkurang dan tekanan oleh hutang terbesar industri dunia.

‘‘Ia adalah sukar untuk ekonomi Jepun untuk mencapai pertumbuhan pengekalan sendiri,’’ kata Ketua Ekonomi Monex Securities, Naoki Murakami.

Sementara itu China terus berada di hadapan menggambarkan perubahan dalam kuasa ekonomi apabila bertukar dari kemiskinan negara komunis kepada ekonomi dunia utama, ia memberi tekanan kepada Jepun untuk memantapkan ekonominya, kata penganalisis.

Keajaiban ekonomi selepas perang Jepun, meletakkan mereka di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat (AS) untuk lebih dari empat dekad, tetapi mendatar selepas gelembung hartanah pecah pada 1990 dan ia membantu China melonjak.

Namun, Jepun kekal 10 kali lebih kaya dari segi pendapatan per kapita, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Ramalan pelbagai terhadap bila China akan mendahului AS sebagai peneraju ekonomi dunia, tetapi ia sepatutnya berlaku menjelang 2025, berdasarkan jangkaan Bank Dunia, Goldman Sachs dan ramai lagi.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Jepun jatuh sebanyak 1.1 peratus tahunan pada suku Oktober hingga Disember apabila subsidi auto telah luput memberi kesan kepada jualan kereta, cukai tembakau baru dan pengukuhan yen menjejaskan eksport.

Penguncupan pertama dalam lima suku tidak seteruk seperti yang diunjurkan iaitu sebanyak 2.4 peratus, tetapi data KDNK Jepun memerlukan penilaian beterusan.

Ekonomi telah tumbuh 3.9 peratus pada 2010, merupakan pertumbuhan tahunan pertama dalam tempoh tiga tahun.

Tetapi ia tidak mampu menyaingi China.

KDNK nominal sebanyak AS$5.474 trilion (RM16.695 trilion) pada 2010, meletakkan Jepun dibelakang China dengan AS$5.879 trilion (RM17.93 trilion).

Walaupun Jepun berjaya keluar dari kemelesetan pada 2009, pemulihannya kekal rapuh dengan deflasi, hutang awam tinggi, permintaan domestik lemah dan yen yang kukuh mencetuskan kebimbangan kepada pembuat dasar.

Perdana Menteri, Naoto Kan berdepan dengan tekanan di mana kerajaan perlu melonjakkan semula ekonomi tanpa menambah hutang dengan bajet sebanyak AS$1.1 trilion (RM3.35 trilion) untuk tahun fiskal hadapan.

Bulan lalu, Standard & Poor menurunkan penarafan kredit mereka kepada AA- berbanding AA kerana berpendapat kerajaan kurang mempunyai strategi baik untuk mengurangkan hutang.

Namun kebanyakan penganalisis menjangkakan ekonomi mereka akan memantul pada suku Januari hingga Mac, akibat terkena tempias pemulihan ekonomi global.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...