expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Tuesday, June 21, 2011

Filem KL Gangster Raih RM 10.3 Juta Selepas 10 Hari Tayangan



Filem KL Gangster mencatat rekod baru dalam industri perfileman tempatan sebagai filem Melayu paling tinggi mengaut kutipan tiket iaitu sebanyak RM10.3 juta selepas 10 hari ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara sejak 9 Jun lalu.


Filem terbitan Skop Production itu menewaskan filem bertajuk Kongsi terbitan MIG Production yang hanya mampu mengutip kutipan tiket RM8.4 juta sewaktu tayangannya bulan lalu, biarpun penerbitnya, David Teo menyasarkan kutipan RM10 juta.

Menurut Pengarah Urusan dan penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, beliau yakin KL Gangster yang diarahkan oleh anaknya, Syamsul Yusof mampu menambah jumlah kutipan filem genre aksi itu berdasarkan sambutan yang amat hebat daripada para penonton.

"Sehingga semalam, KL Gangster telah mengutip kutipan tiket RM10.3 juta. Berdasarkan maklum balas daripada pihak pawagam, filem dengan kos pembikinan dan promosi lebih RM2 juta itu mampu mengutip sehingga RM12 juta jika ia terus ditayangkan sehingga hujung minggu ini.


"Ini kerana, KL Gangster baru ditayangkan 10 hari di mana ada empat hari lagi tayangannya berada di bawah Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Kalau sambutannya bagus pihak pawagam akan terus menayangkan selepas skim itu tamat.

"Saya tidak menyangka KL Gangster mendapat sambutan hebat kerana bersaing dengan banyak filem lain, termasuklah filem 3,2,1 Cinta terbitan David Teo yang juga sedang ditayangkan di pawagam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Filem lakonan Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Adiputra dan Zizan Raja Lawak itu sebelum ini turut memecahkan rekod filem Melayu paling tinggi kutipan tiketnya pada hari pertama ia ditayangkan iaitu sebanyak RM1.5 juta di lebih 80 pawagam seluruh negara 10 hari lalu.

Malah, filem terbitan syarikat bumiputra terbabit sekali lagi memecahkan rekod yang pernah dipegang oleh filem Kongsi terbitan MIG Production yang sebelum itu mencatat kutipan tiket sebanyak RM1 juta sewaktu hari pertama ia ditayangkan di seluruh negara baru-baru ini.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...