expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Monday, February 28, 2011

Pelacur Facebook



Pelacur-pelacur di sini mengiklan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook, lapor akhbar New York Daily News .

Pendedahan itu dibuat oleh seorang ahli sosialogi Universiti Colombia, Sudhir Venkatesh yang melakukan satu kajian terhadap 290 pekerja seks. Menurutnya, 83 peratus daripada pekerja itu didapati bergantung kepada Facebook untuk menggoda lelaki bagi menjadi pelanggan mereka.

Salah seorang pelacur yang mengiklankan perkhidmatan mereka di laman tersebut dikenali sebagai Molly Ravish. Ravish menyatakan dalam laman itu bahawa dia merupakan seorang teman wanita yang berpengalaman.

Dalam laman itu, dia meminta pengguna Facebook untuk mengunjungi laman webnya untuk mengetahui perkhidmatan yang ditawarkannya.

Dalam laman webnya, dia menawarkan perkhidmatan selama satu jam dengan kadar bayaran AS$200 (RM610) dan AS$150 (RM458) untuk seks oral.

Tuesday, February 22, 2011

Zizan (Raja Lawak) & Dira Sah Pengacara Baru Melodi


Desas-desus mengatakan pengacara Fara Fauzana dan Wahid (Senario) akan meninggalkan Melodi rupanya benar apabila pihak TV3 mengesahkan Zizan Raja Lawak dan Dira Abu Zahar akan menggantikan kedua-dua pengacara itu berkuatkuasa April ini.

TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa memberitahu, selari dengan tempoh tamat kontrak Wahid dan Fara Fauzana pada penghujung Mac ini, pihak TV3 dengan sukacita memperkenalkan gandingan Zizan dan Dira selaku pengacara ataupun pemangkin baru Melodi.

Sebelum dikenali sebagai pelakon, Dira telah pernah menjadi pengacara untuk program Beat TV, Pulus Mania dan Jom Ronda.

Dia juga pernah menjadi penyampai radio Xfress FM pada tahun 2007 manakala Zizan merupakan pengacara program Gelanggang Raja Lawak di Astro Prima (saluran 105).


Menurut penerbit Melodi, Azman Abd Ghafar, pihak TV3 tidak menafikan keserasian dan kehebatan Wahid dan Fara selama hampir enam tahun memikul tanggungjawab sebagai pengacara Melodi.

Namun, selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang telah dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran pengacara Melodi adalah satu langkah strategik dan wajar dilakukan.

“Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Dira kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan stail tersendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan.

“Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan dengan bakat yang berbeza dan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.


Monday, February 21, 2011

7 Pasangan Berciuman Lebih 33 jam Untuk Pecah Rekod Dunia


Ia adalah satu kucupan paling lama dalam sejarah manusia di dunia ini.

Tujuh pasangan berkucupan lebih daripada 33 jam bagi meraikan hari Valentine di bandar peranginan di wilayah selatan Thailand yang didakwa penganjur ciuman paling lama pernah direkodkan.

Menurut Rekod Dunia Guiness, rekod terdahulu - selama 32 jam 7 minit dan 14 saat - dilakukan pada 2009 oleh pasangan di Jerman. Seramai 14 pasangan Thai menyertai pertandingan itu yang bermula pada jam 6 pagi.

Pada tengah hari, separuh daripada pasangan itu masih berkucupan di koridor sebuah pusat beli-belah di mana ada pelancong yang melopong dan tersenyum melihat mereka sambil yang lain mengambil gambar melalui telefon bimbit mereka.

“Kami tidak fikir kami akan menemui sesiapa yang akan memecahkan rekod,” kata Pengurus Muzium Louis Tussaud's Waxworks di Pattaya, Somporn Naksuetrong yang menganjurkan pertandingan itu. Namun, tujuh pasangan berjaya melakukannya dan ia sangat mengagumkan,” tambahnya.

Punca Kebangkitan / Krisis di Asia Barat


Kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat yang bermula di Tunisia sebelum merebak ke Mesir dan kini di Yemen, Bahrain dan Libya tidak berlaku tanpa sebab.

Gelombang kebangkitan rakyat itu bermula selepas para penunjuk perasaan berjaya menyebabkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan bulan lalu.

Ia kemudian diikuti oleh rakyat di Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun memerintah.

Kebangkitan itu kemudian diteruskan oleh rakyat di Libya, Bahrain dan Yemen yang menuntut reformasi pemerintahan dilakukan.

Semua kebangkitan rakyat itu berlaku dalam zaman Facebook, Twitter dan Internet serta komunikasi penghantaran mesej yang laju menerusi telefon bimbit.

Laman web sosial dan telefon bimbit itu membantu kejayaan tunjuk perasaan di Mesir namun punca sebenar gelombang kebangkitan tersebut adalah tiadanya program ekonomi tersusun untuk rakyat di negara-negara tersebut.

Negara Mesir moden sudah lama wujud tetapi apakah yang dilakukan oleh Hosni semasa beliau memerintah untuk membaiki taraf hidup rakyat?

Rakyat di negara itu sudah bosan dengan taraf pembangunan yang berkualiti rendah sedangkan anak-anak pemimpin di negara berkenaan menikmati pendidikan dan gaya kehidupan mewah.


Sunday, February 20, 2011

Gadis Boleh Lentur Diri Dalam Balang dan Tong Sampah


Seorang gadis di Britain pulih daripada sindrom berasa takut apabila berada di dalam ruang yang sempit.

Gadis itu, Kirsty Nicholson, 23, pulih selepas ibunya memasukkan dia ke dalam tong sampah. Kejadian itu berlaku semasa dia masih kecil kerana anaknya itu mampu melenturkan tubuhnya.

Disebabkan dia turut berbakat melenturkkan tubuhnya di dalam balang kaca, gadis itu kini menunjukkan kemahirannya itu dalam pertunjukan sarkas.

Dia kini merupakan anggota kumpulan The Circus of Horrors yang menjelajah ke seluruh dunia.
Nicholson amat takut berada di ruang kecil dan tertutup sejak dia berusia enam tahun.

Beberapa tahun lalu, dia mendapat tawaran bekerja dengan sarkas berkenaan dan perlu mengadakan persembahan melenturkan badan di dalam botol sepanjang 0.6 meter dan lebar 45 sentimeter.

"Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan sehinggalah ibu saya mendapat idea untuk saya berlatih di rumah dengan memaksa saya masuk ke dalam tong sampah dan raga pakaian," kata Kirsty.

Friday, February 18, 2011

Gadis Lelong Diri Tepi Jalan Di Hari Valentine

Ketika kebanyakan pasangan kekasih di Britain membaca kad Valentine mereka, semalam, terdapat seorang gadis yang patah hati.

Teman lelaki Janie Brown, Steve mengakhiri perhubungan mereka selama enam bulan, semalam. Janie yang tidak mahu kesedihannya berlarutan memutuskan untuk mencari pasangan baru bagi bertemu janji segera.


Gadis berusia 20 tahun yang belajar pengajian Sejarah di Universiti Birmingham itu membawa kertas kadbod yang tertulis luahan kesepian hatinya yang digantungkan pada tubuhnya sambil berdiri di tepi jalan raya.

Janie berkata dia tidak mahu menghabiskan hari Valentine sendirian kerana akan membuatnya tertekan dan memikirkan mungkin orang yang lalu-lalang akan bersimpati dengannya.

"Teman lelaki saya meninggalkan saya semalam dan saya rasa daripada bersedih di rumah sepanjang hari lebih baik saya keluar dan mencari pasangan.


Wednesday, February 16, 2011

Ibu Tumpang 61 Tahun Lahir Bayi Lelaki


Seorang wanita berusia 61 tahun, Kristine Casey yang menjadi ibu tumpang untuk anak perempuannya berjaya melahirkan seorang cucu lelaki.

Kristine melahirkan anak untuk anak perempuannya itu menerusi pembedahan di sebuah hospital di Chicago, Amerika Syarikat.

Dia bersetuju menjadi ibu tumpang selepas anak perempuannya yang kini berumur 35 tahun tidak dapat melahirkan anak selepas dia mengalami keguguran.

Menurut Dr. Susan Gerber, pembedahan untuk mengeluarkan bayi tersebut tidak rumit.

Kelahiran bayi itu disambut dengan gembira oleh semua anggota keluarga termasuk Kristine.

Jepun Bukan Lagi Ekonomi Kedua Terbesar


Jepun telah kehilangan kedudukan selama 42 tahun sebagai negara ekonomi kedua terbesar dunia kepada China pada 2010, apabila berlaku pengecutan pada suku terakhir ekoran kelemahan perbelanjaan konsumer dan pengukuhan yen.

Negara matahari terbit itu, dijangka terus berada di belakang China pada tahun ini, apabila data menunjukkan kelemahan ekonomi Jepun berikutan deflasi, permintaan domestik berkurang dan tekanan oleh hutang terbesar industri dunia.

‘‘Ia adalah sukar untuk ekonomi Jepun untuk mencapai pertumbuhan pengekalan sendiri,’’ kata Ketua Ekonomi Monex Securities, Naoki Murakami.

Sementara itu China terus berada di hadapan menggambarkan perubahan dalam kuasa ekonomi apabila bertukar dari kemiskinan negara komunis kepada ekonomi dunia utama, ia memberi tekanan kepada Jepun untuk memantapkan ekonominya, kata penganalisis.

Keajaiban ekonomi selepas perang Jepun, meletakkan mereka di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat (AS) untuk lebih dari empat dekad, tetapi mendatar selepas gelembung hartanah pecah pada 1990 dan ia membantu China melonjak.

Namun, Jepun kekal 10 kali lebih kaya dari segi pendapatan per kapita, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Tuesday, February 15, 2011

Ulama Indonesia Benar Kad Hari Valentine

SEORANG wanita melihat kek yang dijual sempena sambutan Hari Kekasih di sebuah kedai di Jakarta
Majlis Ulama Indonesia (MUI) membuat pendirian yang lebih lembut berhubung sambutan Hari Kekasih. Menurut Setiausaha MUI, Ichwan Sam, penganut Islam dibenarkan menghantar kad ucapan Hari Kekasih.

"Kami memahami bahawa sambutan Hari Kekasih di negara ini tidak lebih sekadar trend yang diamalkan oleh golongan muda," kata Ichwan.

"Hari Kekasih merupakan salah satu cara untuk menyuarakan rasa cinta oleh generasi baru. Ia akan lenyap selepas hari itu berlalu," tambah Ichwan.

Sejak beberapa tahun lalu, MUI kerap mengeluarkan fatwa yang membidas sambutan Hari Kekasih dengan menganggapnya sebagai satu ancaman terhadap nilai-nilai Islam.

Namun, sebahagian penganut Islam di Indonesia yang tidak mematuhi fatwa yang dikeluarkan MUI sebelum ini apabila ada golongan muda yang menghantar kad ucapan, coklat dan bunga kepada pasangan masing-masing sempena Hari Kekasih.

Menurut Ichwan walaupun MUI mengeluarkan pendirian yang lebih lembut, pihaknya tetap mengharamkan seks bebas dan bercium antara pasangan yang masih belum berkahwin.

"Ia menjadi dosa jika mereka terlibat dalam kegiatan seks bebas atau bercium antara lelaki dan wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga," katanya.

Monday, February 14, 2011

Gosip Paris Hilton Peluk Agama Islam


Spekulasi selebriti Paris Hilton memeluk agama Islam tersebar dengan meluas di Singapura, Malaysia dan Indonesia, lapor laman London Muslim di Internet.

Menurut laman tersebut, khabar angin mengenai Paris itu kemudian tersebar ke Amerika Utara dan Eropah.
Laman itu turut menyiarkan gambar Paris yang memakai tudung kepala.

Akhbar-akbar dalam talian di Indonesia turut menyiarkan berita sama ada bintang program realiti The Simple Life itu sudah memeluk agama Islam.

Sebenarnya, berita mengenai Paris menganut agama Islam itu disiarkan buat kali pertama dalam laman berita Daily Squib di Internet.


Profil Hosni Mubarak


4 Mei 1928 - Muhammad Hosni Sayyid Mubarak dilahirkan di Kahel-el-Meselha, sebuah kampung di Delta  Sungai Nil, anak kedua daripada lima beradik.

1949 - Tamat latihan di Akademi Tentera Kebangsaan Mesir

1950 - Sertai pasukan tentera udara.

1975 - Dilantik menjadi Naib Presiden oleh Anwar Sadat

1981 - Menjadi Presiden Mesir yang keempat, tujuh hari selepas Presiden Anwar Sadat ditembak mati pada 6 Oktober 1981 kerana menandatangani perjanjian damai dengan Israel,

1980 - Sokong Saddam dalam Perang Iraq-Iran.

1991 - Sokong AS memerangi Saddam selepas Iraq menceroboh Kuwait.

1995 - Terselamat daripada cubaan membunuhnya. Sepanjang 30 tahun pemerintahannya, Hosni terselamat daripada 10 cubaan membunuh.

1999 - Bersetuju mengepam gas asli ke Israel dan wilayah Palestin.

2005 - Membenarkan buat kali pertama pilihan raya pelbagai parti yang dimenangi secara selesa oleh Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang diketuainya. Mengalahkan Ikhwanul Muslimin yang terpaksa meletak calonnya sebagai calon bebas kerana masih diharamkan.

25 Januari 2011 - Beribu-ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan membantah pemerintahannya, mencontohi pemberontakan rakyat Tunisia.

28 Januari 2011 - Buat kali pertama lantik naib presiden.

1 Februari 2011 - Umum tidak akan bertanding dalam pilihan raya September ini.

10 Februari 2011 - Ulangi pendirian akan kekal menjadi presiden hingga September

11 Februari 2011 - Berlepas ke Sharm El-Sheikh. Naib Presiden, Omar Suleiman umumkan peletakan jawatan Hosni.

Sunday, February 13, 2011

Fasha Sanda Carian Tertinggi Google Malaysia


Pelakon terkenal, Fasha Sandha menduduki tempat pertama di negara ini dalam carian menerusi syarikat penyedia perkhidmatan Internet, Google sepanjang bulan Januari lalu.

Jurucakap Google Malaysia berkata, Fasha dicari ekoran kisahnya memakai bikini di Bali, Indonesia dan tersebar di Internet meluas baru-baru ini. Kisah Fasha menjadi topik hangat pada kedudukan 10 teratas untuk bulan Januari manakala selepas itu Anugerah Juara Lagu ke-25 pula menduduki tempat kedua.

Pelakon Ayu Raudhah yang berkahwin dengan pemain bola sepak, Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak juga banyak dicari sepanjang bulan lepas.

Chef Berbogel Untuk Tarik Minat Lelaki ke Dapur


Sebuah saluran dewasa di Hong Kong dijangka mengeluarkan rancangan memasak diterajui seorang pengacara bogel yang akan menyiapkan masakan Kantonis sambil memakai apron jarang, satu cubaan untuk menggalakkan lebih ramai lelaki memasak.

Pengacara Flora Cheung akan memulakan setiap 30 minit rancangan membeli-belah barangan basah di pasar basah terkenal ibu kota ini, membuka pakaiannya sebaik saja kembali ke studio persendiriannya, lapor akhbar South China Morning Post.

Cheung yang mengakui tidak pernah bekerja di restoran, berkata beliau berharap rancangan berunsur seks itu akan menarik lebih ramai lelaki ke dapur. Episod pertama dijangka disiarkan lewat bulan ini.

“Saya gemar memasak dan ingin berkongsi keseronokan itu dengan ramai orang,” katanya.

Saturday, February 12, 2011

Justin Bieber Beli Kondo RM5.2 juta

RUANG di dalam kondominium Justin Bieber di Los Angeles
Dalam usia baru mencecah 16 tahun, penyanyi terkenal, Justin Bieber dilaporkan telah membeli satu unit kondominium berharga AS$1.7 juta (RM5.2 juta) di Los Angeles, lapor laman Real Estalker.com di Internet semalam.

Kondominium penyanyi pop itu dikatakan memiliki tiga buah bilik, terletak di kawasan Westwood, bersaiz 222.967 meter persegi dengan hiasan dalaman yang moden.

Keseluruhan kondominium itu dilengkapi jubin lantai berkilat, dinding berwarna putih dilengkapi perabot mewah dan cermin dari lantai hingga ke siling.

Kondominium itu turut menyediakan kemudahan lain seperti pusat kesihatan, tempat letak kenderaan dan bilik parti.

Nenek Dedah Punca Dia Tumpaskan 6 Perompak

GAMBAR yang dirakamkan seorang jurugambar menunjukkan Ann Timson (dalam bulatan) memukul seorang perompak di depan sebuah kedai barang kemas di Norhampton, Britain pada Isnin lalu.

Seorang nenek di Britain, Ann Timson yang menumpaskan enam penjenayah yang mahu merompak sebuah kedai barang kemas dengan menggunakan beg tangannya, menafikan dia merupakan seorang wirawati.

"Mungkin sesuatu yang bodoh buat saya kerana terlibat dalam kejadian itu tetapi seseorang perlu melakukan sesuatu," katanya selepas kejadian itu berlaku pada Isnin lalu.

Menurut jiran-jirannya, dia kerap memeriksa penduduk yang terdedah pada jenayah di kawasan perumahannya.


Wednesday, February 9, 2011

Wanita 70-an Lawan 6 Perompak


Seorang wanita berusia dalam lingkungan 70-an berjaya menggagalkan percubaan sekumpulan enam lelaki untuk merompak sebuah kedai barang kemas di sini dengan hanya menggunakan tas tangannya.

Wanita itu yang namanya tidak didedahkan berlari ke arah kedai emas tersebut semasa beberapa pejalan kaki tidak menghiraukan dua perompak sedang memecahkan cermin kedai tersebut pagi kelmarin.

Tiga perompak lagi yang menunggang dua buah skuter dan sebuah motosikal menunggu di luar kedai berkenaan semasa rakan mereka memecahkan cermin kedai berkenaan.

Namun, wanita tua itu dengan penuh keberanian memukul semua perompak itu dengan tas tangannya menyebabkan mereka gagal mencuri lebih banyak barang kemas.

Wanita tua itu hanya bertindak berseorangan tanpa dibantu oleh beberapa orang yang berjalan dekat dengan kedai emas tersebut.


Tuesday, February 8, 2011

Imam Dipenjara Miliki Gambar Bogel

Dubai
Mahkamah rayuan Dubai semalam membebaskan seorang imam masjid atas dakwaan menggoda wanita supaya menjalinkan hubungan seks tetapi menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan memiliki gambar bogel dengan menggunakan telefon bimbit BlackBerry.

Hakim Mahkamah Rayuan, Eisa Al Sharif menggugurkan hukuman setahun penjara dan membebaskan imam Mesir berusia 35 tahun itu kerana menggoda wanita dan memujuk mereka melakukan hubungan seks dengannya menggunakan satu daripada perkhidmatan telekomunikasi telefon itu.

"Mahkamah, bagaimanapun, memenjarakan tertuduh, S M selama sebulan berikutan kesalahan memiliki bahan lucah. Gambar bogel terbabit akan dirampas,” kata Hakim Al Sharif di kamar mahkamah.


Misteri 400 Ekor Haiwan dibunuh Serigala


Seramai 24 orang diupah untuk membunuh sekumpulan serigala yang membunuh 400 ekor haiwan di Verkhoyansk, Russia.

Ganjaran yang ditawarkan kepada pemburu itu ialah AS$338 (RM1,026) bagi setiap seekor serigala yang mati dibunuh dan dihantar kepada para pegawai majlis pentadbiran tempatan.

Seorang pegawai pentadbiran daerah Verkhoyansk, Stepan Rozhin berkata, pemburu-pemburu upahan itu akan turut meronda di beberapa kawasan perumahan selain memasang perangkap serigala.

Skuad pembunuhan upahan itu diwujudkan selepas sekumpulan serigala membunuh lebih 30 ekor kuda hanya dalam masa empat hari.

Pakar-pakar haiwan kini bingung ekoran tindakan haiwan itu yang dipercayai melibatkan ratusan ekor serigala.

Menurut seorang pakar hidupan liar, Dr. Valerius Geist, serangan serigala itu dianggap sesuatu yang ganjil.

Bagaimanapun, katanya, makanan serigala itu, arnab semakin berkurangan menyebabkan haiwan tersebut tersebut terpaksa mengubah tabiat pemakanannya.

Monday, February 7, 2011

Pisau Tertusuk di Bawah Mata


Seorang budak lelaki di China, Ren Hanzhi bernasib baik apabila beberapa doktor berjaya menarik keluar pisau yang tertusuk di bawah matanya dalam satu pembedahan.

Pisau itu tertusuk di bawah mata Hanzhi semasa dia mengupas sebiji buah epal di Zhumadian, tengah China di wilayah Henan, China baru-baru ini.

Selepas ditusuk, darah mengalir menyebabkan dia dihantar ke sebuah hospital sebelum dipindahkan ke sebuah lagi hospital.

Ketua doktor bedah, Peng Liwei kemudian berjaya menarik semula pisau sepanjang 20 sentimeter itu. Budak berusia 13 tahun itu kini dilaporkan sedang menjalani pemulihan selepas dia dibedah.

Tandas Kapal Selam Britain RM10.9b Rosak

Kapal selam RM10.9b milik Britain
Kapal selam berkuasa nuklear yang terbaru dan terbesar dalam tentera laut Britain bernilai £1.2 bilion (RM10.9 bilion) kembali semula ke pelabuhan Faslane, Scotland di Sungai Clyde kerana kegagalan sistem sokongan senjata dan masalah kumbahan.

Kapal itu dilaporkan menghadapi masalah kumbahan itu menyebabkan tandas dalam kapal selam berkenaan tidak dapat digunakan oleh 90 orang anak kapal.

Menurut sumber tentera laut, kapal selam HMS Astute itu yang seberat 7,800 tan dan dilengkapi peluru berpandu Tomahawk akan berada di pelabuhan tersebut selama enam minggu untuk kerja-kerja pembaikan.

Pihak tentera melancarkan siasatan bagi mengetahui kenapa kapal selam itu mengalami masalah berulang sejak Oktober tahun lalu.

Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, kerja-kerja sedang dilakukan bagi memperbaiki sistem sokongan senjata dan kumbahan kapal selam tersebut.

Bodoh Betul Laki Ni...Call 911 Tanya Cara Betul Tanam Ganja



Polis Connecticut menahan seorang lelaki yang menghubungi talian kecemasan 911 bertanya cara yang betul menanam pokok marijuana.

Robert Michelson, 21, bercakap dengan operator talian berkenaan pada malam kelmarin, tetapi diberitahu adalah salah bagi seseorang menanam pokok dadah.

Michelson terus mengucapkan terima kasih dan meletak telefon.

Polis kemudian ke rumah Michelson untuk menyiasat dan merampas benih marijuana di situ

Sunday, February 6, 2011

Alamat Internet Dah Habis


Gudang alamat Internet dunia sudah kehabisan bagi kegunaan penyedia Internet (IP) baru dan sedia ada, selepas format yang digunakan ketika ini dikenali sebagai IPv4 sudah mencapai hadnya.

Syarikat Internet Pemberi Hak Nama dan Nombor (ICANN) telah mengeluarkan lima kumpulan terakhir nombor alamat penyedia Internet (IP) yang mengenal pasti destinasi aliran digital.

''Lebih empat bilion alamat Internet sudah dikeluarkan sehingga pagi ini. Ia sudah habis, Tidak ada lagi,'' kata Ketua ICANN, Rod Beckstrom.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu tidak akan menimbulkan masalah besar kerana Pendaftar Internet Wilayah (RIR) di seluruh dunia akan mengeluarkan alamat-alamat untuk menyokong penukaran kepada format baru yang dikenali sebagai IPv6.


Wanita Cekik Babi Hutan Selamatkan Diri

BUNGA menunjukkan kesan kecederaan akibat pergelutan dengan babi hutan di kebunnya kelmarin ketika ditemui di Hospital Tanah Merah, semalam

Seorang wanita warga tua terpaksa menggunakan sepenuh tenaganya untuk bertarung dengan seekor babi hutan, sebelum berjaya menewaskan binatang itu, pada kejadian Isnin lalu.

Menceritakan peristiwa jam 8 pagi itu, mangsa Bunga Musa, 70, berkata sebelum kejadian, beliau ke kebun getahnya di Kampung Gemang, dekat sini untuk memetik limau madu yang ditanam di kebun itu selain hendak membersihkan semak di situ.

Katanya, ketika sedang menebas semak di kebun berkenaan, tiba-tiba muncul seekor babi hutan sebesar kambing jantan dipercayai dari hutan berhampiran yang terus menyerangnya.


Saturday, February 5, 2011

Award Kedua !!



Ni merupakan award kedua yang aku dapat sejak mula berbloging tak sampai pun sebulan yang lepas. Award pertama dari encik Billy sebab aku berjaya menjadi follower beliau yang ke-800.


Award kedua pula diterima pada hari ini. Ong sungguh aku nie..hehe..kali ini award yg aku dpt diterima daripada miss Saraesiya sebab aku secara tak sengaja pulak menjadi follower beliau yang ke-200. Huhu..terima kasih kepada beliau utk award itu. Aku pulak, bila pula ya nak jadi sehebat cam diorang tu, ada follower beratus-ratus?

Pasangan Paling Pelik di Dunia, Jatuh Cinta Selepas Tukar Jantina

DOMINIK SEJDA (kanan) dan Andrea Kajzarova dianggap pasangan paling pelik di dunia kerana kedua-duanya telah menukar jantina.
Sepasang kekasih di Republik Czech layak digelar pasangan paling pelik di dunia kerana mereka jatuh cinta selepas kedua-duanya menjalani pembedahan menukar jantina.

Dominik Sejda, 45, atau nama asalnya Ilona Tomeckova, dilahirkan sebagai wanita pernah menjalani pembedahan menukar jantina untuk menjadi lelaki dan dia kini hidup bersama dengan seorang lelaki yang telah menukar jantina menjadi perempuan, Andrea Kajzarova, 32.

Sejda memainkan peranan sebagai lelaki manakala Andrea merupakan wanita dalam hubungan tersebut.
Mereka yang bekerja sebagai pembantu ambulans di dua hospital di sini, berkenalan dalam satu laman web pondan.

Lebih aneh, Sejda pernah melahirkan seorang anak lelaki 25 tahun dahulu, Radim, yang juga telah menjalani pembedahan untuk menukar jantinanya menjadi wanita

Tindakan Radikal Doktor Jahit Kaki Kiri ke Kaki Kanan Pesakit


Demi menyelamatkan kaki kiri seorang lelaki yang cedera akibat kemalangan, doktor di sebuah hospital di China mengambil keputusan menjahit kaki berkenaan ke kaki kanannya untuk sementara sebelum mencantumkannya semula tidak lama lagi.

Menurut jurucakap hospital itu, lelaki itu - hanya dikenali sebagai Ma - terbabit dalam kemalangan di tempat kerja dua minggu lalu.

Katanya, insiden itu menyebabkan kaki kiri Ma rosak teruk dan mengalami jangkitan kuman. “Jika dibiarkan, kemungkinan besar kaki kiri Ma terpaksa dipotong,” katanya.

Bagi menyelamatkan Ma, kata jurucakap itu, pasukan perubatan hospital membuat keputusan radikal - memotong kaki kiri Ma. Kaki itu kemudian dijahit ke kaki kanan untuk sementara waktu bagi memastikan salur darah serta otot Ma tidak rosak.

“Pembedahan bagi menyambung semula kaki kiri Ma dijangka dibuat dalam tempoh sebulan,” katanya.

Jurujual Wanita Guna Taktik Pikat Jutawan Jadi Suami


Seorang jurujual dari Britain, Kim Perez sanggup melakukan apa sahaja bagi menggoda seorang jutawan untuk dijadikan suaminya.

Menceritakan pengalamannya yang berjaya mengahwini seorang jutawan dari Amerika Syarikat (AS) kepada media, wanita berusia 43 tahun itu berkata, dia tidak berpelajaran tinggi tetapi bercita-cita tinggi untuk hidup mewah.

Bagi merealisasikan impiannya, Perez memberitahu, dia meluangkan masa beberapa bulan untuk menukar penampilan diri agar kelihatan lebih kemas dan anggun malah, dia turut membayar £600 (RM2,959) bagi mempelajari pertuturan bahasa Inggeris yang lebih baik berbanding loghat bahasa pasar yang sering digunakannya ketika berbual.


Friday, February 4, 2011

Guru Ditangkap Lakukan Seks Dengan Pelajar


Seorang guru, Courtney Bowles, 31, ditangkap pada minggu lepas kerana dia mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar sekolah tinggi berumur 16 tahun di sebuah taman.


Seorang pegawai polis Sharon Hopkins yang sedang meronda di Taman Tasik North pada Jumaat malam mendekati kereta Bowles di sebuah tempat letak kereta.

"Semasa saya menghampiri kereta itu, saya melihat seorang lelaki dan wanita berbogel di bahagian belakang kereta.Wanita yang berada di atas lelaki itu terus bangun apabila melihat lampu suluh yang dinyalakan ke arahnya dalam kereta itu," katanya.

Selepas berpakaian, Bowles mengaku telah melakukan seks.

Bowles diarahkan oleh mahkamah untuk tidak menghampiri sesiapa sahaja yang berumur di bawah 18 tahun termasuk dua anaknya selain tidak boleh berada hampir di sekolahnya serta menghubungi remaja lelaki itu.

Guru itu dibebaskan dengan ikat jamin AS$50,000 (RM152,544) dan akan dihadapkan ke mahkamah pada minggu depan.

Jambatan Terpanjang Dunia Siap Dibina


Jambatan terpanjang di dunia sepanjang 41.5 kilometer (km) akhirnya siap dibina di China.

Ia yang dinamakan Jambatan Qingdao Haiwan, memakan masa empat tahun untuk dibina dan menghubungkan bandar raya ini, di wilayah Shandong, timur China dengan daerah Huangdao.

Kerja-kerja pembinaan jambatan itu dimulakan oleh dua kumpulan pembinaan masing-masing di Qingdao dan Huangdao, sejak 2006.

"Model komputer dan semua pengiraan berjalan lancar tetapi kami hanya berasa lega selepas kedua-dua sisinya dicantumkan," kata seorang jurutera projek itu.

Selepas siap pada Isnin lepas, struktur berkenaan menghubungkan tiga bandar pesisir di wilayah Shandong.
Sebelum ini, gelaran jambatan terpanjang di dunia dipegang oleh Laluan Tasik Pontchartrain sepanjang 38.42km di selatan negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS).

Kapal Berbentuk Bandar Monaco

Beberapa pereka kapal layar mengemukakan pelan untuk membina kapal layar yang mengandungi replika bandar raya mini Monaco yang terapung di laut.

Kos pembinaan bandar mini itu ialah £700 juta (RM3.35 bilion) yang mengandungi replika trek lumba, Hotel de Paris, Cafe de Paris, Hotel Loews dan kasino Monte Carlo selain kolam renang serta gelanggang tenis.

Ia merupakan idea firma Yacht Island Design yang beribu pejabat di Derbyshire, Britain.

Pengarah syarikat itu, Rob McPherson berkata, reka bentuk itu bertemakan sebuah kapal layar unik dan menggambarkan gaya hidup dan prinsip canggih.

Reka bentuk bandar terapung itu sudah siap dan firma itu menunggu seorang bilionair untuk melabur dan memilikinya supaya ia menjadi realiti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...