expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Friday, August 5, 2011

Hanya 322 Derma Organ Sejak 1975 di Malaysia

Hanya 322 rakyat Malaysia yang sudah meninggal dunia mendermakan organ dan tisu mereka untuk digunakan pesakit yang memerlukan organ gantian bagi meneruskan kehidupan sejak 1975 sehingga kini.


Senario itu mendedahkan bahawa bilangan penderma organ dan tisu di kalangan rakyat Malaysia terlalu sedikit iaitu sekitar 1.4 pendermaan bagi setiap sejuta populasi di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Malaysia adalah antara negara mencatatkan jumlah pendermaan organ dan tisu paling rendah iaitu hanya 0.6 peratus daripada setiap sejuta penduduk.

Katanya, tinjauan dilakukan Global Observatory on Donation and Transplantation di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun lalu mendapati Malaysia antara negara tercorot dari segi kadar pendermaan organ dan tisu berbanding negara lain.

“Malaysia jauh ketinggalan berbanding Sepanyol yang berada kedudukan teratas, dengan mencatatkan 34.3 peratus daripada setiap sejuta penduduknya menderma organ dan tisu untuk membantu pesakit di sana," katanya pada sidang media selepas melancarkan larian Race Againts Time: Run For Life.

Rosnah berkata, pada masa ini dianggarkan seramai 12,133 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ, iaitu seramai 12,100 pesakit kegagalan buah pinggang, 23 pesakit kegagalan hati dan 10 pesakit jantung serta paru-paru.

“Daripada angka itu, kita dapat melihat dengan jelas bahawa wujud perbezaan ketara antara keperluan dan pendermaan organ, menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu untuk mendapatkan organ.

“Perkembangan ini sebenarnya amat membimbangkan dan kementerian akan terus berkempen bagi menanam kesedaran kepada orang ramai berhubung kepentingan menderma organ dan tisu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian mendapati hanya 0.57 peratus atau 165,438 daripada keseluruhan penduduk Malaysia sudah berikrar untuk mendermakan organ dan tisu kepada pesakit yang memerlukan organ gantian sehingga April lalu.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang wajar berikrar untuk mendermakan organ mereka selepas meninggal dunia, demi membantu pesakit mungkin memerlukan organ baru untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

1 comment :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...