Sudah berbulan lamanya perkahwinan diraja Britain berlalu, namun kesannya di United Kingdom masih dirasai sehingga banyak cenderamata berkisar percintaan, perkahwinan dan pakaian yang diperagakan pada upacara bersejarah berkenaan menjadi ikutan ramai.
Tetapi bukan Caterine Middleton, isteri Putera William yang lebih dikenali sebagai Kate itu mencuri tumpuan ramai sekarang, se-baliknya adik Kate, Pippa Middleton menjadi perhatian dunia selepas mengiringi kakaknya ketika upacara perkahwinan diraja 29 April lalu.
Paling ketara ialah gaun Alexander McQueen yang dipakai Pippa, 27, tiba-tiba menjadi popular bagaikan fesyen baru di Britain. Di butik berjenama di London sekarang, gaun satin direka Sarah Burton dari Alexander McQueen, pereka sama bertanggungjawab mereka pakaian pengantin Kate pakaian ala pengantin Grace Kelly, menjadi pilihan ramai.
Media di Britain kini lebih gemar menyiarkan kisah Pippa yang dilaporkan mendapat tawaran berlakon filem lucah. Vivid Entertainment bukan hanya menawarkan Pippa, tetapi turut menawarkan adik lelakinya, James dengan bayaran berjuta dolar.
“Ini fenomena baru di sini,” kata pegawai Kedutaan Malaysia di London, Jaafar Abdullah. Katanya, pada hari perkahwinan 29 April lalu, jalan raya di London sesak teruk.
“Di Hyde Park, skrin besar dipasang hingga ribuan orang membanjiri kawasan ini,” kata Jaafar yang berasal dari Sandakan, Sabah dan berada di sini sejak 1983 selepas menamatkan pengajian.
“Tiada apa boleh dilihat jika ramai bersesak di Istana Buckingham pada hari perkahwinan itu dan skrin yang menayangkan siaran langsung tetap menjadi pilihan,” katanya sambil kami melintasi kawasan Hyde Park.
Tinjauan rambang di beberapa butik berjenama jelas memperagakan gaun Pippa sehingga media di London menggelarkan fenomena itu sebagai ‘Pippa effect’.
Menurut jurujual di Marks & Spencer, jualan pakaian menyerupai gaun Pippa meningkat secara mendadak malah jaket biru jenama Zara yang dipakai adik Kate itu juga menjadi pilihan pembeli.
“Apa saja pakaian yang dipakai Pippa sebelum dan selepas majlis perkahwinan kakaknya, kini dicari pembeli terutama di kalangan remaja,” katanya.
No comments :
Post a Comment