Kedudukan Toyota Motor Co. (Toyota) selaku pengeluar kenderaan utama dunia besar kemungkinan akan jatuh ke tempat ketiga selepas General Motors (GM) dan Volkswagen (VW).
Ini berikutan dengan gempa bumi dan krisis nuklear di Jepun yang mengurangkan pengeluaran kenderaan jenama itu sebanyak dua pertiga pada Mac lalu.
Kekurangan komponen kenderaan disebabkan gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan kerosakan loji nuklear telah mengganggu bekalan tenaga.
Para pelabur menjangkakan pesaing luar negara akan menerima manfaat ekoran kejatuhan pengeluaran kenderaan dari Jepun dan ia menyebabkan saham Hyundai Motors dan Kia Motors dari Korea Selatan melonjak ke paras tertinggi semalam.
Hyundai, GM dan Ford Motor Co. merupakan pemenang bagi sektor automotif, kata Pengarah Urusan Automotive Foresight (Shanghai) Co., Yale Zhang.
Ia disebabkan ketiga-tiga pembuat kereta itu mampu mencari alat ganti lebih mudah berbanding pengeluar Jepun. Di pasaran Jepun, Hyundai dan Kia merupakan penerima manfaat yang besar bagi industri kereta Jepun yang bermasalah, kata Penganalisis Korea Investment & Securities di Seoul, Suh Sung-moon.
Syarikat-syarikat automotif Amerika Syarikat (AS) GM dan Ford mampu meningkatkan jualan dan penguasaan pasaran serta membuatkan kehadiran mereka dalam pasaran kereta kecil yang didominasi oleh pembuat kereta Jepun sejak dua dekad lalu, kata Penganalisis Morningstar in Chicago, David Whiston.
Honda Motor Co., pengeluar kereta nombor tiga Jepun dan keempat terbesar di pasaran AS, berkata Isnin lalu, mereka akan mengambil masa sehingga akhir tahun ini untuk kembali normal, selari dengan komen yang dibuat Toyota.
Honda, yang melaporkan pengeluaran domestik berkurangan sebanyak 63 peratus pada Mac lalu berkata, pengeluaran adalah pada paras 50 peratus daripada perancangan asal sehingga hujung Jun ini.
Pengeluaran domestik Toyota, pembuat kereta terbesar dunia telah merudum sebanyak 63 peratus pada Mac, sementara Nissan Motor Co. berkata angka mereka jatuh sebanyak 52 peratus.
Nissan merupakan pengeluar kereta keenam di AS.
Toyota hampir pasti bakal kehilangan kedudukan teratas dalam pengeluaran automotif global yang mereka terima pada 2008 apabila mendahului GM.
GM dilihat akan kembali ke kedudukan teratas dan Toyota akan jatuh di belakang VW yang pada masa ini berada di tempat ketiga, kata Pengarah Urusan Advanced Research Japan di Tokyo, Koji Endo.
Toyota menjual 8.42 juta kenderaan pada tahun lalu berbanding GM sebanyak 8.39 juta. Syarikat automotif dari Amerika itu berada di kedudukan terbaik untuk mencatatkan jualan sekitar 6.5 juta buah pada tahun ini, kata Endo.
Penganalisis lain menjangkakan jualan Toyota adalah sekitar 6.3 juta buah hingga tujuh juta buah.
''Manakala GM akan mengeluarkan sekitar lapan juta lebih dan VW sekitar tujuh juta buah, oleh itu, Toyota akan berada di kedudukan ketiga dan GM di tempat pertama,'' katanya.
VW telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih kedudukan Toyota dan menjangkakan jualan pada 2011 akan melepasi rekod 7.14 juta pada tahun lalu. Toyota sebenarnya tidak mengambil berat prospek kehilangan kedudukan terbaik.
''Semasa Toyota menjadi nombor satu, tiada sebarang sambutan yang dibuat,'' kata jurucakap Toyota, Paul Nolasco.
Beliau berkata, jualan Mac merupakan terburuk sejak 1988.
No comments :
Post a Comment