Samsung Electronics mengumumkan telefon pintar terbaru keluarannya
Galaxy S4 menjadi peranti paling laris dalam sejarah keluarannya apabila
lebih 10 juta unit dijual dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.
Samsung dalam kenyataannya di sini, semalam menjelaskan lebih 10 juta unit S4 sudah dijual dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan pada 26 April lalu. Model terdahulu, S3 mengambil masa 50 hari untuk mencatatkan jumlah jualan berkenaan.
Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar dunia mensasarkan S4 akan mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dalam pasaran peranti pintar mewah berteknologi tinggi di Amerika Syarikat dan seluruh dunia, sekali gus membentangkan cabaran sengit kepada Apple Inc, dengan produk tersohornya iPhone.
Dalam pada itu, Apple sudah menghantar petisyen kepada mahkamah di Amerika Syarikat untuk turut memasukkan S4 ke dalam senarai peranti berteknologi tinggi yang melanggar hak patennya terutama yang berkaitan dengan aplikasi arahan suara, Siri pada iPhone.
“Dakwaan pelanggaran hak cipta yang dikemukakan Apple itu adalah hampir sama dengan pelanggaran hak cipta daripada beberapa produk lain keluaran Samsung yang sudah diputuskan sebelum ini,” kata peguam Mark Lyon yang mewakili Apple selepas memfailkan tuntutan itu kelmarin.
Dua daripada lima dakwaan pelanggaran hak paten yang dikemukakan Apple dalam saman kali ini adalah berkaitan aplikasi arahan suara daripada pembantu khas, Siri.
Kes itu adalah antara beberapa lagi pertikaian perundangan antara Samsung dan Apple yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat. Bagaimanapun, perbicaraan kes itu tidak dijangka bermula hingga awal tahun depan.
Samsung hingga kini dipercayai sudah menjual kira-kira 60 juta unit telefon pintar popular Galaxy S3 sejak diperkenalkan kepada umum pada Mei 2012.
Sementara itu, S4 yang dilengkapkan dengan skrin definisi tinggi penuh dan skrin lima inci (12.7 sm), dipadankan dengan kamera lebih baik serta cip pemproses lebih laju berbanding model sebelumnya.
S4 hingga kini sudah dijual di lebih 60 negara dan Samsung merancang meluaskan jualan menerusi kerjasama dengan 327 syarikat telekomunikasi di 155 negara menjelang bulan depan.
Penganalisis menjangkakan Samsung akan terus merekodkan jualan hebat menerusi S4 sekali gus mengukuhkan lagi prestasi mantap model Galaxy sejak diperkenalkan dalam pasaran peranti pintar mewah pada 2010. Kepantasan jualan S4 dijangka membantu Samsung mencatat rekod baru untung dalam suku tahun semasa.
Walaupun pakar peranti pintar berbelah bahagi dengan kehebatan S4, jualan baik dicatatkan Samsung disandarkan kepada strategi pengiklanan besar-besaran serta ketiadaan saingan daripada Apple.
Dalam suku pertama tahun ini Samsung menguasai 33 peratus pasaran peranti pintar mewah, justeru penganalisis di JP Morgan menjangka untung syarikat itu dalam suku ini akan melebihi Apple buat kali pertama dalam sejarah. - AFP
INFO: Samsung Electronics
10 juta - jualan S4 dalam tempoh sebulan
33 peratus - pasaran peranti pintar dunia suku pertama 2013
60 juta - jualan S3 dalam tempoh setahun
No comments :
Post a Comment