expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

Saturday, January 29, 2011

Facebook Punca Cerai


Laman sosial Internet, Facebook didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes perceraian apabila semakin ramai suami atau isteri ditangkap berkelakuan curang dalam laman itu.

Seorang peguam memberitahu akhbar The Sun demikian mengenai bagaimana kes yang diuruskannya sejak sembilan bulan lalu membabitkan Facebook.


Menurutnya, pengguna yang sudah berkahwin terdedah untuk menipu pasangan mereka apabila berkenalan dengan pengguna lain dalam laman sosial itu.

Mesej berbau seks dan gambar kekasih baru selepas perceraian digunakan oleh bekas suami atau isteri dalam prosiding perceraian.

Kini, peguam menasihatkan pasangan yang bertelingkah supaya berhenti menggunakan Facebook dan laman lain seperfti Second Life, Illicit Encounters dan Friends Reunited sehingga prosiding perceraian masing-masing berakhir.

Emma Patel dari Syarikat Guaman Hart Scales & Hodges di Dorking, Surrey berkata, pihaknya menangani 30 kes perceraian sejak Mei lalu dan semuanya membabitkan Facebook.

Katanya: “Suami isteri yang curiga terhadap pasangan masing-masing menggunakan laman itu untuk mengintip dan mencari bukti kelakuan curang pasangan mereka.

“Penemuan bukti itu akan membawa kepada peceraian,” katanya.

Emma juga berkata, beliau sering memberi amaran kepada pasangan yang bertelingkah supaya mengelak daripada menggunakan laman itu selagi kes perceraian mereka belum berakhir.

Thursday, January 27, 2011

Suami Dapatkan Perlindungan Polis Kerana Isteri Kuat Seks

Gambar sekadar hiasan
Seorang lelaki Turki yang menetap di Jerman mendapatkan perlindungan polis kerana isterinya yang kerap meminta melakukan hubungan seks.

Menurut polis, lelaki itu datang ke sebuah balai polis di barat daya Jerman pada Selasa lalu. Lelaki itu berkata, dia telah tidur selama empat tahun di sofa untuk mengelak daripada tuntutan daripada isteri yang mahu melakukan seks.

Isterinya itu telah dikahwini selama 18 tahun. Dia mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinannya itu.

"Sekarang, dia bercadang untuk bercerai dengan isterinya itu dan keluar dari rumah dengan harapan dia pergi ke tempat kerja dalam keadaan yang cergas sepenuhnya.

"Ketika itu, tindakannya mahu keluar dari rumah mustahil dilakukan kerana isterinya sering datang ke ruang tamu meminta dia melaksanakan tugas perkahwinan (seks) sehingga membuatkan dia meminta pertolongan polis untuk mendapatkan tidur pada waktu malam," menurut polis.

Wednesday, January 26, 2011

Lagu Duet Maher Zain dan Lady Gaga

Tajuk lagu di bawah adalah Sweet Is What You Are, dinyanyikan oleh Maher Zain dan Lady Gaga pada tahun 2007, sebelum Maher Zain melakukan Hijrah kepada kehidupan Islam yang sebenarnya...

Jelajah Dunia Dengan 6 Patung Wanita Silikon


Seorang lelaki berusia 57 tahun, Dave Hockey membelanjakan wang sebanyak AS$25,600 (RM78,246) untuk mengembara ke seluruh dunia dengan enam patung wanita silikon.


Dia membawa patung silikon itu ke beberapa lokasi menarik di Stonehenge, Britain, Grand Canyon dan Niagara Falls di Amerika Syarikat (AS).

Bapa dua anak itu berkata: "Isteri saya memahami ia (patung-patung itu) merupakan satu hobi."

Hockey juga kini menghasilkan filem dokumentari pengembaraannya selama tujuh minggu dari rumahnya di Nova Scotia, Kanada ke San Diego, AS untuk berjumpa dengan pemilik patung lain.

Semasa pengembaraan itu, dia juga membawa patung silikon yang cantik Bianca yang dibeli dengan harga AS$ 3,246 (RM9,921) yang pernah muncul dalam filem Lars and the Real Doll. Patung itu turut dibawa untuk aktiviti terjun udara, menaiki kuda dan menjadi pembonceng motosikal Harley Davidson.

"Saya membeli patung pertama pada November 2006 kerana ia kelihatan menarik dan cantik. Lelaki yang menyatakan patung tidak cantik sebenarnya pembohong," katanya.

Dia sanggup berkelakuan sopan di depan patung wanitanya dengan mengungkapkan kata-kata meminta berjalan di depan patungnya selain membeli kasut dan aksesori lain untuk mencantikkan patung tersebut.
Beberapa patung itu seberat lebih 40.91 kilogram dan dia memerlukan sebuah kerusi roda untuk membawanya memasuki hotel dan di kawasan tarikan pelancongan.

Hockey kini dalam proses terakhir untuk menyunting dokumentari yang dihasilkannya itu tetapi dia berharap akan dapat menyiapkannya dalam masa enam minggu lagi.

Jejak Kedua UFO Ditemui di Yogyakarta



Belum reda kekecohan mengenai bulatan tanaman yang dipercayai jejak objek terbang tidak dikenali (UFO) di Sleman, kelmarin, warga Yogyakarta kembali digemparkan dengan penemuan satu lagi bulatan misteri.


Bulatan misteri kedua itu bercorak geometri yang baru itu ditemui di Dusun Wanujoyo Kidul, Desa Srimartani Kecamatan Piyungan, Kabupaten Bantul, Yogyakarta.Ia terletak lima kilometer dari bentuk bulatan pertama yang ditemui di sawah padi di Sleman tetapi ukurannya pula lebih kecil.

"Saya sedang mencari rumput, saya lihat banyak padi yang landai dan membentuk bulatan," kata seorang pemuda Harjono, yang menemui corak bulatan misteri itu.

Ia dipercayai terbentuk lebih lima hari berdasarkan sebahagian padi yang rebah sudah mula tegak berdiri.
Lebih menghairankan, padi yang rebah itu juga tidak patah.

Menurut seorang penduduk tempatan Tukijo, 53, yang tinggal dalam jarak sekitar 100 meter dari tempat corak aneh itu ditemui, dia tidak mendengar bunyi suara atau melihat cahaya sebelum lingkaran itu ditemui.
"Tiada sebarang tanda-tanda ganjil sebelum bentuk bulatan itu ditemui," katanya.

Kawasan itu kini dipagari dengan garisan polis bagi mengelak dipijak oleh orang ramai yang berpusu-pusu tiba kerana mahu melihat fenomena tersebut.

Sementara itu, beribu-ribu orang membanjiri daerah Sleman semalam semata-mata untuk melihat sendiri bulatan misteri yang pertama. Bulatan itu memiliki corak seperti bunga dengan luas sekitar 70 meter.

Ia kini menjadi tumpuan orang ramai sehingga polis terpaksa memagari kawasan itu dengan menggunakan pita berwarna kuning bagi menghalang bulatan itu dipijak oleh orang ramai.

Tuesday, January 25, 2011

At.Mosphere Restoran Tertinggi di Dunia

RM83 bayaran masuk untuk jamu selera pada ketinggian 442 meter

Restoran tertinggi di dunia dibuka secara rasmi di sini semalam menampilkan imej gaya hidup paling mewah menggunakan nama At.Mosphere yang berada pada ketinggian 1,350 kaki (442 meter) dari tanah di ketinggian tingkat 122 bangunan Burj Khalifa.

“Ia melakarkan semula konsep restoran di Dubai,” kata Marc Dardenne, Ketua Pegawai Eksekutif Meaar Hospitality yang mengendalikan restoran terbabit.

At.Mosphere di bangunan Burj Khalifa setinggi 828 tingkat di Dubai itu adalah ‘satu daripada pengalaman restoran bersantai serba mewah di dunia,”kata Emaar Hospitality Group, anak syarikat gergasi pemaju hartanah Emaar.

Sekurang-kurangnya dua tingkat di bawah dek pemantau menara terbabit, yang menjadi restoran tertinggi di dunia boleh menempatkan lebih 210 tetamu dan mempunyai sebuah lobi ketibaan yang luas, satu tingkat restoran utama, bilik makan persendirian dan stesen mempamerkan masakan.

At.Mosphere kini mengatasi bangunan CN di Kanada yang pernah menjadi restoran tertinggi di dunia.

Dengan dilengkapi dinding dan siling mahogany, kelengkapan perabot Adam Tihany serta tingkat ‘cafe au lait limestone’ serta dilengkapi permaidani buatan tangan, restoran terbabit mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Setiap aspek restoran direka dan dibuat secara teliti dengan dekorasi elegan, suasana nyaman, pilihan makanan dan standard perkhidmatan,” kata Mohammed Alabbar, pengerusi Emaar Properties.

Sebagai tambahan kepada apartmen, pejabat dan hotel pereka Itali Giorgio Armani, bangunan terbabit mempunyai dek pemantau di tingkat 124, dibuka kepada pengunjung dengan bayaran masuk sekurang-kurangnya 100 dirham (RM83) bagi dewasa.

Emaar berbelanja AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) untuk menara terbabit yang dinamakan sempena Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahayan yang membantu Dubai ketika dilanda krisis kewangan global.

UFO Dipercayai Mendarat Di Sawah Padi di Yogyakarta



Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam. Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.

Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980. Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.

Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.


Monday, January 24, 2011

Lee Kuan Yew Gesa Umat Islam Lebih Longgar Dalam Beribadah

Bekas Perdana Menteri Singapura menuduh negara jiran, Malaysia dan Indonesia berusaha cuba menjatuhkan republik itu.

Menurut Lee Kuan Yew, kedua-dua negara jiran itu tidak senang dengan kemajuan pelabuhan Singapura dan berusaha untuk menggagalkannya.


Beliau turut menggesa masyarakat Islam tempatan bersikap ‘lebih longgar dalam mengamalkan suruhan agama mereka,’ bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Majoriti penduduk Singapura keturunan China dengan golongan Melayu yang beragama Islam dan kaum India menjadi penduduk minorit.

"Saya boleh berkata hari ini, kita boleh integrasi semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya dalam buku barunya: ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.'

"Saya berpendapat kami mencapai kemajuan dengan baik sehingga muncul kebangkitan Islam dan jika anda bertanya pendapat saya, masyarakat lain dapat berintegrasi dengan mudah - persahabatan, kahwin campur dan sebagainya,” katanya yang kini menjadi penasihat anaknya yang juga Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

“Saya berpendapat, masyarakat Islam secara sosialnya tidak mencetuskan masalah.

“Tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew sambil menggesa penganut agama itu bersikap lebih longgar dalam melaksanakan ajaran Islam.

Ketika melancarkan buku berkenaan Jumaat lalu Lee memberi amaran kepada rakyat Singapura agar tidak bersikap ambil mudah kerana republik itu masih menjalani proses pembangunan.

Dengan menyifatkan Singapura dalam buku itu sebagai ‘bangunan 80 tingkat di atas tanah paya,’ Lee berkata, negara itu mesti berjuang untuk mengatasi sikap bermusuhan dengan negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kita mempunyai jiran yang baik? Sedarlah. Terdapat usaha untuk menjatuhkan kita kerana kita adalah pengacau.” katanya dengan mendakwa Malaysia dan Indonesia berusaha untuk menggagalkan bisnes pelabuhan yang amat penting bagi republik itu.

Ibu Dipenjara Kerana Laku Seks Dengan Rakan Anak


Seorang ibu, Cathleen Miller, 40, dihukum penjara selama 10 tahun kerana kesalahan melakukan seks dengan beberapa remaja lelaki yang merupakan rakan anak perempuannya, lapor beberapa akhbar kelmarin.


Menurut seorang peguam bela, Robert Olson, Miller mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan seks dan serangan seks semasa sesi perbicaraan di sini.

Seorang pihak pendakwa, Andy Conklin berkata, wanita itu menerima hukuman penjara 10 tahun kerana kesalahan merogol dan penyalahgunaan seks.

Menurut pendakwa raya, dia mencabul tiga budak lelaki. Budak lelaki yang terlibat berusia di antara 14 dan 15 tahun.

Pihak pendakwa raya menyatakan dia menawarkan arak dan dadah untuk melakukan seks dengan dua orang mangsanya pada Februari dan Jun tahun lepas di rumahnya.

Skandal seks itu terdedah apabila salah seorang mangsa lelaki menghantar mesej di laman sosial Facebook kepada anak perempuan sulung Miller bagi meminta maaf kerana perbuatan itu.

Keluarga mangsa itu yang terlihat mesej itu kemudian memberitahu pihak polis.

Miller yang bekerja sebagai seorang setiausaha menyatakan budak lelaki itu yang membawa arak dan dadah ke rumahnya.

Bandar Mesra Alam Terbesar di Dunia


Pentadbiran bandar Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memajukan bandar mesra alam terbesar di dunia dengan menggunakan teknologi paling canggih.


Bandar mesra alam itu dikenali sebagai bandar Masdar yang boleh menempatkan 40,000 penduduk dan projek tersebut bermula sejak 2006.

Dibina di pinggir bandar Abu Dhabi, bandar Masdar yang langsung tidak mengeluarkan gas karbon bakal menjadi contoh kepada bandar mesra alam pada masa depan.

Bandar itu memperoleh penghuni pertamanya pada Oktober lalu apabila sekumpulan 175 orang pelajar menyertai projek Masdar.

Institut Sains dan Teknologi Masdar turut dibangunkan dengan kerjasama Institut Teknologi Massachusetts.
Sebuah kereta tanpa pemandu yang dikendalikan sistem navigasi canggih turut digunakan di kampus tersebut.

Buat masa sekarang, apa yang ada hanyalah kampus institut pengajian yang meliputi satu kluster bangunan dengan bumbungnya dipenuhi dengan panel solar serta sebuah ladang yang memperoleh tenaga solar.

"Kami memiliki sistem fotovolta berkuasa 10 megawatt di tapak yang mampu menjana banyak kuasa elektrik yang perlu disalurkan menerusi grid," kata Pengarah Masdar Power, Frank Wouters.

Masdar turut membangunkan loji kuasa solar berkapasiti 100 megawatt dengan kerjasama syarikat Total dari Perancis dan Abengo Sepanyol yang diberi nama Shams 1. Ia dikatakan sebagai loji kuasa solar terbesar di dunia dan menelan kos sehingga AS$600 juta (RM1.83 bilion).

Abu Dhabi ialah antara negara Arab yang memiliki simpanan minyak paling banyak di dunia.

Sunday, January 23, 2011

Bahaya 'Love Bite'


Seorang wanita berusia 44 tahun lumpuh buat seketika selepas dia dicium pasangannya di bahagian leher, lapor sebuah akhbar semalam.


Dia lumpuh di bahagian lengan kiri semasa menonton televisyen.

Doktor-doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca dia diserang strok sehinggalah mereka mendapati terdapat tanda ciuman cinta di bahagian lehernya sekali gus meleraikan misteri serangan strok itu.
Wanita itu kemudian memberitahu doktor bahawa dia dicium beberapa hari sebelum diserang strok.

Seorang doktor, Teddy Wu dari Hospital Middlemore di Auckland berkata: "Disebabkan ia merupakan ciuman cinta, terdapat sedutan yang kuat.

Menurutnya, terdapat darah beku di dalam arteri di tempat sedutan itu dibuat.

Dia berkata, darah beku tersebut tidak dapat bergerak menyebabkan strok itu berlaku. Wanita itu pulih selepas dirawat dengan ubat antibekuan.

Menara 135m Mercu Tanda Baru Langkawi



Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa, iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan.

"Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah semalam.

Beliau berkata, menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa, dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.

Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Buaya Trauma Setelah Tertelan Telefon Bimbit



Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.


Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.

"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.

Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.

Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.
Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.

Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...