Penerbit Datin Zaiton Mohammad Jiwa belum mengambil keputusan sama
ada menyingkir atau terus menggunakan khidmat pelakon Afiq Muiz untuk
drama terbitan syarikatnya, Global Station Sdn. Bhd.
Zaiton yang kini berada di Manila, Filipina berkata, dia belum berkesempatan bersemuka dengan Afiq untuk bercerita lanjut dengan artis residen syarikatnya itu.
"Memandangkan sekarang Afiq adalah artis residen, jadi Kak Ton perlulah ikut prosedur yang telah dipersetujui sebelum ini. Apa pun Kak Ton bergantung kepada kehendak stesen televisyen.
"Kalau pihak stesen tidak ada masalah dengan penampilan Afiq, Kak Ton okay saja dan jika sebaliknya, terpaksalah cari penyelesaian lain," katanya yang berada di sana untuk melakukan perbincangan dengan pelakon, Jericho Rosales.
Dalam pada itu, ketika diberitahu yang kebanyakan pihak media sepakat untuk memboikot pelakon muda itu, Zaiton berkata, jika benar situasi itu berlaku ia bakal memberi kesan kepada masa hadapan Afiq.
Jelasnya, setiap artis memerlukan kerjasama daripada pihak media bagi meneruskan kelangsungan kerjaya masing-masing.
"Kalau benar pihak media hendak memboikot Afiq, terpaksalah Kak Ton cari jalan penyelesaian kerana promosi itu penting untuk setiap drama yang diterbitkan.
"Memanglah kita boleh buat promosi menerusi laman sosial masing-masing, tetapi masih tetap tidak sama dengan publisiti yang diberikan oleh pihak media," katanya yang akan segera berbincang dengan Afiq sebaik kembali ke tanah air. - UTUSAN
No comments :
Post a Comment